
Penagihan dadah adalah satu masalah sosial, masalah keselamatan, masalah negara dan masalah dunia. Masyarakat harus faham tentang kesakitan, kesedihan, kesengsaraan yang dialami oleh seorang penagih dadah dan mereka perlu dibantu.
Penagih dadah tidak boleh merawat diri mereka sendiri. Mereka perlukan bantuan dan tanpa bantuan mereka sukar dipulih untuk menjadi anggota masyarakat biasa. Bagi yang jauh terlanjur (hardcore), usaha merawat dan memulihkan mereka bertambah sukar.
Begitu juga dengan Yang DiPertua Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Mohd Yunus Pathi, banyak onak berduri dan jalan berliku yang terpaksa ditempuhinya untuk mencapai tahap kepulihan seperti yang ada di dalam dirinya sekarang dan kini telahpun diterima oleh masyarakat.
Semuanya ini bermula pada sekitar tahun 1983, apabila beliau ditangkap polis dan dimasukkan ke Pusat Serenti Besut yang kini dikenali sebagai PUSPEN Besut. Kini setelah 27 tahun berlalu, baru-baru ini beliau kembali semula ke pusat itu bagaikan “sireh pulang ke ganggang”.
Tetapi “kepulangan” beliau ke situ sebagai seorang yang telah berjaya di dalam kepulihan dan kini mendapat tempat dalam masyarakat.
Mohd Yunus hadir ke pusat itu bagi berkongsi pengalaman dengan pelatih-pelatih PUSPEN Besut tempat yang mana beliau pernah mendapat rawatan dan menjadikan dirinya sebagai seorang yang berguna dan dikagumi oleh masyarakat kini.
“Perubahan memang mudah tetapi untuk melaksanakan banyak cabaran yang harus ditempuhi, “ ujar Mohd Yunus bagi memulakan bicaranya selepas berjemaah solat Mahgrib bersama-sama pelatih pusat itu.
Katanya, memang sukar untuk dinafikan bahawa setiap penagih dadah dalam kepulihan sentiasa berdepan dengan ancaman penagihan semula (relapse).
Beliau mengaitkan dirinya yang kini sudah 27 tahun bebas dari dadah dan walaupun kini beliau telah membina keyakinan masyarakat terhadapnya beliau sentiasa dalam pertarungan untuk bebas dadah, kerana kekasihnya heroin itu masih menebal dalam fikirannya.
“Hanya keimanan dan tahap spiritual yang tinggi yang menyelamatkannya sehingga ke tahap kini,” katanya lagi.
Mohd Yunus banyak menggunakan elemen terapeutik yang digunakan untuk meninggalkan dadah dan terus kekal dalam kepulihannya.
Beliau mengimbas kembali, bagaimana beliau boleh dihantar ke PUSPEN Besut untuk dikongsi bersama.
“Tempoh enam bulan terakhir pada tahun 1983 menyaksikan saya sering keluar masuk lokap kerana kesalahan-kesalahan seperti menggunakan dadah, tidak mempunyai kad pengenalan diri serta disyaki sebagai ejen pengedar dadah,” ujarnya.
Hari demi hari, beliau terjunam ke dalam jurang penagihan dadah. Dan kabus kedaifan yang membungkus hidupnya semakin menebal.
Pada pagi hari raya, pada tahun tersebut ketika orang sibuk menunaikan solat sunat Aidilfitri, beliau bersama dua orang rakannya berselindung di balik sebuah kotak usang, lantas memulakan proses pengambilan heroin.
Tidak semena-mena, entah dari mana datangnya, meluru datang dua orang anggota polis narkotik berpakaian preman menggari mereka. Kedua-dua mereka dibawa menaiki van menuju ke Balai Polis Dang wangi.
Dua hari berikutnya, Mohd Yunus bersama lima pesalah yang lain dibawa menaiki van menuju ke Terengganu. Setelah menempuh perjalanan yang panjang mengambil waktu kira-kira lapan jam, van tersebut tiba di perkarangan Pusat Insaf Diri Besut yang kini dikenali sebagai PUSPEN Besut.
Mohd Yunus pasrah dalam lamunan ombak kehidupannya sehingga ke hari raya pertama pada tahun 1983, bila beliau menjadi salah seorang penghuni pusat itu.
Keinsafan bermula bila beliau jatuh sakit ketika mula-mula mendapat rawatan di pusat itu. Beliau jatuh pengsan dan dikejarkan ke Hospital daerah besut dan dimasukkan ke wad kecemasan. Beberapa jam beliau sedar kembali dan merasa lega mendapati dirinya masih hidup.
“Dalam kedaan sedar tidak sedar itu, saya dapat menangkap suatu suara bisikan melalui cuping telinganya yang mengucapkan bacaan-bacaan dalam sembahyang. Saya melirik mata untuk mengesan punca suara itu,
Lalu kelihatan seorang wanita bertelekung putih sedang sedang bersolat berhampiran katil saya. Saya tidak kenal wanita itu tetapi amalan wanita itu benar-benar membuat hati saya tersentuh,” ujar beliau.
Sejak dari peristiwa itu beliau mulai insaf dan bertekad untuk kembali ke pangkal jalan untuk mencari keredaan ilahi. Mohd Yunus kembali ke pusat serenti seperti seorang yang dilahirkan kembali lalu menjalani pemulihan dengan penuh komitmen khususnya dalam usaha untuk meningkatkan ketakwaannya.
Selepas itu Mohd Yunus mula membina keyakinan diri dan tidak segan silu menyatakan kepada masyarakat bahawa beliau adalah bekas penagih dadah dan membuktikan kepada mereka bahawa beliau dan rakan-rakan penagih yang lain juga boleh berubah.
Selepas keluar dari pusat itu, beliau mula mengumpul rakan-rakan untuk menubuhkan Pengasih seperti yang wujud hari ini. Beliau kemudian mendapat latihan dalam pemulihan penyalahgunaan bahan (substance abuse treatment) di Daytop, Amerika Syarikat dan sebahagian model itu dibawa balik ke Malaysia bagi menggerakkan Rumah pengasih.
Beliau kemudian bergerak aktif dalam World Federation of Therapeutic Community(WFTC) dan juga di peringkat Asia dalam Asian Federation of Therepeutic Community(AFTC).
Pada awal 2000, beliau dilantik sebagai Timbalan Presiden AFTC. Beberapa tahun selepas itu, ramai pihak mencadangkan supaya beliau mengambilalih tampok pimpinan AFTC kerana organisasi itu kurang aktif menggerakkan aktiviti mereka di kawasan Asia. Namun Mohd Yunus atas dasar menghormati presidennya yang ada, beliau menolak dan sanggup menunggu giliran.
Kini beliau dilantik sebagai Naib Presiden 11 WFTC.
Mohd Yunus adalah seorang yang diplomatik kerana bercakap dengan agak berhati-hati depan orang yang tidak dikenali, sebaliknya di hadapan anak didiknya residen Rumah Pengasih ternyata beliau seorang yang tegas, adakala garang, kompulsif tetapi bersifat ambil berat (caring).
Inilah jihad Mohd Yunus, apa yang beliau lakukan adalah untuk terus membantu, membimbing, menasihat, merawat dan memulihkan penagih-penagih dadah di mana jua mereka berada. Beliau kini asyik dan ketagih dengan kerja kini dan inilah ketagihan positif, ketagihan yang membangun, ketagihan yang berguna dan InsayAllah, ketagihan yang diredai Allah SWT.