
Oleh MOHD YUNUS PATHI
PENAGIHAN dadah dewasa ini telah mengancam keselamatan negara apabila terdapat begitu ramai anak muda yang bakal mewarisi negara terjebak dan terjerumus dalam kegiatan negatif ini.
Senario ini dapat kita lihat di serata tempat, tidak kira di bandar raya, pekan kecil, di desa dan kampung semuanya wujud masalah penagihan dadah. Bahkan ia turut menjangkiti golongan profesional yang berkelulusan tinggi.
Jelaslah dadah tidak mengenal sesiapa, ia akan terus merebak dan berleluasa. Lantaran begitu rumitnya masalah penagihan dadah yang wujud sekarang ini, maka pihak-pihak tertentu memikirkan cara untuk mencegah, membendung, merawat dan memulihkan penagih dadah.
Di mana silapnya? Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa tetapi kita seharusnya duduk bersama berbincang dan mencari punca dan bagaimana mencegahnya. Satu persoalan yang perlu diberi perhatian ialah kesukaran penagih untuk memulihkan ketagihan mereka.
Masyarakat umumnya berpendapat penagih dadah tidak dapat dipulihkan dan dirawat, buktinya banyak penagih yang telah mendapat rawatan dan pemulihan kembali menagih selepas tamat program. Masalahnya bukan program rawatan yang tidak berjaya dan tidak berkesan. Ia sebenarnya terletak pada diri individu itu sendiri untuk membuat keputusan mahu berubah atau tidak.
Sekiranya seseorang penagih dadah itu mengambil keputusan untuk berhenti mengambil dadah, tanpa menjalani rawatan pemulihan sebenarnya ia boleh pulih. Namun hakikatnya seseorang penagih dadah yang mahu berhenti mengguna dadah amat sukar untuk membuang subbudaya penagihan yang telah mereka lalui.
Subbudaya penagihan bermaksud kehidupan seseorang penagih di alam penagihan. Berdasarkan definisi yang dikemukakan oleh Mardi G. (2004), budaya penagihan ialah budaya yang terkeluar dari norma-norma dalam rangkaian sosial sesebuah kumpulan masyarakat.
Dalam subbudaya ini setiap penagih dadah boleh dikatakan akan mengalami phobia traumatic kerana mereka pernah ditangkap polis, dipukul, dibelasah beramai-ramai dan sebagainya.
Apabila seseorang itu berada dalam subbudaya penagihan, mereka tidak mampu untuk mencari jalan keluar kerana mereka hidup dalam kelompok sendiri iaitu di kalangan penagih.
Dalam merawat dan memulihkan penagih dadah, perkara yang perlu diberi perhatian ialah pemecahan subbudaya penagihan yang ada pada diri mereka. Pemecahan subbudaya penagihan ini bermaksud membuang sikap dan tingkah laku negatif yang selalu mereka lakukan semasa di alam penagihan.
Untuk melakukan pemecahan subbudaya penagihan terdapat empat struktur utama yang perlu diberi perhatian iaitu sikap, emosi, pemikiran dan kemahiran vokasional.
Pemecahan subbudaya penagihan ini pula berjalan dalam satu kelompok komuniti yang mengalami masalah yang sama dan mendesak untuk melakukan perubahan serta berhenti menggunakan dadah.
Contohnya di Rumah Pengasih wujudnya satu mekanisme yang disebut sebagai penghuni merawat penghuni.
Ia bermaksud mereka yang terlibat dengan masalah penagihan dadah akan saling bantu-membantu semasa dalam proses pemulihan dan mengamalkan konsep kekeluargaan.
Penagih yang menjalani rawatan pemulihan perlu diletakkan dalam sebuah komuniti yang berkonsepkan kekeluargaan. Konsep kekeluargaan ini penting kerana kebanyakan penagih dadah menghadapi masalah kehilangan kasih sayang daripada ahli keluarga terdekat seperti ibu bapa, adik-beradik, suami atau isteri serta waris-waris terdekat.
Kekuatan kasih sayang dan tanggungjawab terhadap bekas penagih dalam pemulihan dapat menyedar dan mengubah tingkah laku bekas penagih dadah ini.
Kita perlu menoleh ke belakang dan mencari punca sebenar penagih terjebak dengan dadah dan perlu memecahkan subbudaya yang dibawa oleh penagih-penagih.
Dari segi penerimaan, penagih dadah akan lebih bersikap terbuka untuk menerima teguran, ajakan dan nasihat rakan sebaya. Begitu juga Terapi Terapeutik Komuniti penggunaan faktor rakan sebaya merupakan alat yang paling berkesan dalam rawatan pemulihan penagihan.
Dengan kata lain rakan-rakan sebaya akan menjadi cermin kepada penagih itu untuk membetulkan tingkah lakunya. Jika tiada rakan yang menegur, besar kemungkinan seseorang itu tidak mengetahui bahawa perbuatan itu menjadi kesalahan.
Pemikiran dan kepercayaan yang negatif penagih dadah akan mempengaruhi tingkah laku, emosi, dari segi fizikal dan mentaliti.
Selain itu, pengawalan emosi juga turut dilakukan melalui pembentukan beberapa kumpulan yang akan berperanan untuk mereka melepaskan perasaan seperti marah, kecewa dan tidak puas hati.
Setelah itu penagih dadah yang menjalani sesi ini akan mendapat satu pengalaman cara untuk seimbangkan tekanan dan kasih sayang bagi membentuk satu emosi yang positif.
Untuk mengubah pemikiran negatif kepada pemikiran yang positif seseorang penagih dadah perlu mempunyai kepercayaan bahawa rawatan yang dijalani sekarang ini mampu untuk membentuk sahsiah diri serta mampu untuk membuang subbudaya seorang penagih dadah yang sekian lama dibawa.
Kita tahu bahawa penagih dadah mempunyai tingkah laku yang negatif tetapi kita tidak memahaminya dan tidak pernah merasainya.
Jadi aspek paling utama dalam memastikan proses rawatan dan pemulihan penagih dadah mencapai kejayaan ialah perlu adanya role model. Sebagai contohnya staf-staf di Rumah Pengasih adalah terdiri daripada bekas penagih yang telah berjaya dan pulih daripada ketagihan dadah serta golongan profesional dan bertaraf pendidikan tinggi.
Mereka ini bagaikan cermin diri untuk penghuni di Rumah Pengasih dan mempamerkan teladan positif seperti tingkah laku, sikap, perwatakan dan sebagainya dan akhirnya menjadi ikutan penagih yang masih berada dalam proses rawatan pemulihan.